Sunday, February 26, 2017

Kisan Seram: Bukit Larut

Rasukan Di Bukit Larut

Salam semua..

Hari ni aku nak cerita pasal pengalaman seram sewaktu aku ikut romobngan ke bukit larut. Kalau tak seram harap dimaafkan sebab waktu benda ni jadi aku rasa seram sangat.. Kejadian ni jadi dah agak lama, waktu tu aku masih lagi form 1.. kiranya ada la yang aku lupa-lupa sikit tapi dijamin tiada penokok tambahan cerita dilakukan.. hehe...

alkisahnya aku ni ikut la rombongan office abang aku pegi ke bukit larut, lokasi ni dekat je sebab kami pun semuanya orang taiping.. jadi cadangan dibuat untuk tidur satu malam kat atas bukit tu dengan menyewa sebuah rumah rehat lama.. rumah ni namanya rumah rehat Tempenis@Tempinis dan adalah rumah kedua tertinggi kat bukit ni.. jadi dari kawasan cafeteria ke rumah ni agak jauh jugak la.. okeh ni gambar rumah tempinis yg aku amik kat blog orang..

Rumah ni tinggalan British kiranya dah lebih seratus tahun jugak la usia dia.. jadi tak heran la kalau ada benda-benda mistik..
waktu tu ni la first time aku naik k ebukit larut walaupun dah hidup selama 13tahun dan bukit ni hari-hari boleh nampak dari bandar taiping.. sehari sebelum tu aku dah prepare dengan pil tahan muntah dengan pening sebab kita orang naik jip dari kaki bukit.. jadi jalan dia punya la berbengkang-bengkok.. kami datang dalam 3 jip jugak, lelaki dgn perempuan lebih kurang 11@13 orang (lupa dah jumlah sebenar)..

dipendekkan cerita kami pun sampai la kat rumah tempinis tu dalam pukul 4-5 petang.. waktu ni majoriti pengujung bukit larut dah mula turun ke bawah sebab selalunya akan hujan waktu-waktu begini.. cuaca pun agak gelap.. mula-mula kami sampai aku tengok rumah ni angker semacam je.. dah la besar, tak silap aku ada 3 bilik yang selari dan ruang tamu yg turun ke bawah macam rumah-rumah british lama.. siap lagi dengan tempat unggun api.. setiap bilik ni aku rasa macam besar ruang tamu rumah2 zaman sekarang ni.. dapur pulak dekat bahagian belakang bersebelahan dengan hutan.. keliling rumah ni pulak ada batu-batu besar dengan gaung serta cerun bukit.. jarak dari rumah kami sewa ke checkpoint jip lebih kurang 800meter ke 1km gak..  

aku sampai je terus cari toilet, sebab dh nak terkucil, toilet dia pulak jenis yang turun ke bawah dengan ada sekali thub mandi.. memang angker betul.. aku dah pikir apsal la diaorang sewa rumah ni.. waktu aku tengah kucil, dengar bunyi pintu bergoyang, padahal aku dah tutup kunci.. aku buat bodo je dan anggap mungkin angin walaupun macam tak logik gak sebab toilet ni dalam rumah bukannya kat luar..

waktu sampai kat rumah ni aku perasan ada la macam notis serta risalah berkenaan kristian dengan ada tulisan pasal jesus kat dalam laci.. maybe utk pengunjung bukan islam kot.. kami pun letak2 la barang masing-masing. yang lelaki tidur bilik 1 (hujung mengadap pintu depan), perempuan bilik 3 (mengadap ke dapur), maksudnya bilik tengah tu dibiarkan kosong.. sebab bilik yang agak besar jadi takde isu la pasal sempit dgn rimas..

malam tu kita orang pun buat la barbeku kat area luar rumah ni, mujurlah hari tak hujan.. ada la sikit kawasan lapang depan rumah untuk pasang api, sebelum tu kami dah prepare dgn ayam perap dgn bahan2 lain untuk makan malam.. kita org just sembang2, ada yg main chess, tgk tv, ada yg tengok pemandagan bandar taiping waktu malam... sampai la lebih kurang  pukul 1.30pagi.. masing-masing mengantuk  dah nak pegi tidur..  waktu tu dalam bilik laki yang kami tidur ada la lebih kurang 6-7 orang.. tengah tidur, aku rasa muka kena tampar, tapi sebab penat aku buat bodo je. kali kedua lagi kuat pulak, bila aku bukak mata dalam keadaan mamai, rupanya abang aku yang tampar.. ceh..

aku pun heran la pasal apa dia ni kejutkan aku tengah-tengah malam buta.. abang aku ajak pegi ke bilik tempat perempuan tidur, aku perasan bilik yang aku tidur ni dah kosong.. yang lelaki semua dah pergi ke bilik perempuan.. dalam keadaan mamai aku pun pegi la bilik perempuan .. on the way ke bilik perempuan aku dengar la bunyi perempuan menjerit sekali dngan menangis-nangis.. waktu ni tak silap aku dah pukul 3 lebih..

sampai bilik perempuan aku tengok salah sorang anak saudara makcik staff ni dh kena rasuk.. ada la 2 orang lelaki tengah pegang tangan perempuan ni, sorang lagi tengah baca surah yassin, sorang lagi tengah azankan kat perempuan tu.. terkejut jugak aku sebab ni first time aku tgk orang kena rasuk depan mata.. perempuan yang lain pulak duduk kat penjuru bilik.. masing-masing muka dah takut gila.. yang aku ni selaku ahli rombongan paling kecil pun duduk join gak penjuru bilik.. memang takut gak la waktu tu dengar perempuan ni menjerit dgn meracau-racau.. diaorang pegang perempuan ni atas katil tak kasi bangun sebab takut lari keluar rumah.

waktu ni aku ingat lagi nak baca ayat kursi pun memang tak boleh, macam mulut terkunci pulak.. nak baca bismillah pun tergagap tak lepas nak habiskan.. yang tukang baca yassin tu pun aku tgk macam susah gak dia nak baca, bunyi pun keluar seketul-ketul ayat dia.. yang azankan pun lebih kurang gak.. macam dia kena guna sepenuh tenaga nak laung azan tu..

budak perempuan yg kena rasuk ni aku rasa baru je lepas SPM, tapi kederat dia memang sampai budak laki yang pegang pun susah nak handle.. yang takutnya budak perempuan ni menjerit dia nak keluar rumah, nak keluar rumah.. mata dia mengadap kat pintu, bayang la, kat area rumah tu keliling hutan dengan curam bukit.. kalau dia dapat keluar kemungkinan boleh mati jatuh gaung atau sesat hilang dalam hutan.. jadi seboleh-bolehnya memang diaorg pegang tak nak kasi terlepas..

waktu tu ada la orang cakap kat sebelah perempuan ni suruh mengucap, tapi 'benda' tu cakap taknak, dia kata nak keluar rumah jugak.. setiap kali laung azan, menjerit-jerit perempuan ni macam panas.. nasib baik la dalam rombongan ni ada jugak yang tau nak handle benda-benda ni.. kalau tak memang lagi parah la..  

berhempas pulak jugak la nak tenteramkan perempuan ni, ada la jugak dalam sejam lebih.. yang tukang azan pun dah berapa kali
ulang azan., sampai naik letih dia.. yang perempuan ni gigih lagi menjerit-jerit nak keluar rumah sambil meracau.. sampai satu masa dah agak lama gak, perempuan ni pun dh stop menjerit, dia pun baring ja atas tilam, dah tak melawan lagi.. yang sorang perempuan dari ahli rombongan duduk tepi usap muka dia dgn air yassin sambil suruh mengucap.. tiba-tiba je makcik kepada perempuan ni yang duduk kat penjuru bilik cakap.. "apa mengucap-mengucap", yg kami semua pun dah terkejut...

muka makcik (takda la tua sangat dalam awal 40an ja) ni dari takut dah macam jadi pelik pulak.. makcik ni jadi senyap sambil merenung kat satu arah.. muka dia seolah-olah jadi kembang pulak..

rupa-rupanya 'benda' tu dah berpindah dari perempuan tu ke makcik dia pulak.. dah la makcik ni duduk bersama-sama geng perempuan lain kat penjuru bilik.. bila dah tengok lain macam ja, yang geng-geng perempuan ni terus ke tepi sebab takut.. terpaksa la berubatkan pulak makcik ni macam kes perempuan first tadi..

tapi seingat aku kes makcik ni takda la teruk sangat macam anak sedara dia kena.. meracau-racau sikit ja.. bila orang suruh mengucap dia marah dan bising-bising.. lepas beberapa kali azan dgn baca yassin sebelah makcik ni, 'benda' ni slow-slow hilang bila dah dekat masuk waktu subuh.. yang perempuan dgn makcik ni pun terus tidor..

esoknya tangan budak perempuan ni penuh lebam-lebam sebab bergelut dgn orang yang tolong pegangkan dia.. dia ada cakap yang tak sedar langsung.. bangun-bangun je dah sakit-sakit badan..

dalam pukul 8-9 pagi, kita orang dah pack barang nak cabut., tunggu jip datang dan terus serah kunci kat penjaga rumah tu... rupanya antara punca ialah sebab kami bawak ayam dengan daging mentah (untuk barbeku).. sebab ada orang tua-tua cakap jangan bawak benda berdarah kalau masuk dalam hutan atau pergi ke laut.. waktu turun dgn jip semua senyap ja sampai la kat kaki bukit..

lepas kejadian tu banyak kali jugak aku naik ke bukit larut ni tapi dah tobat la nak tidur sini.. aku akan make sure balik hari punya.. 2 tahun lepas aku tengok rumah rehat Tempinis ni dah jadi tempat tanam bunga tulip pulak.. tak tau sama ada boleh sewa lagi.. sekian kalau tak seram harap maaf.. just nak share pengalaman je..


==================================================

aku biasa dgr pasal pantang larang bawak daging mentah atau daging ayam ke telur ke masuk hutan atau pegi laut....

dr pengalaman aku... jgn taksub sgt ikut pantang larang mcm2 ni... memang ada yg ikut mcm sesetengah nelayan tak bawak daging ayam atau telur bila turun laut... tapi kalao terlalu percaya salah aku rasa...

aku kadang2 masuk hutan memancing atau saja camping.. bawak mcm2 siap berbarbeq.. atau bawak ayam turun laut.. kecuali tekong bot dah pesan awal2... kita hormat la nasihat dia.... nih kan bumi Allah... takde dia hukumkan mcm tu...

cuba pikir logik... tuh kapal2 besar Star Cruise semua tu... jgn kata ayam... beer bertong2 dia bawak... tapi biasanya org2 cina takkan bawak daging babi kalau masuk hutan.... sebab mmg selalu kalau bawak kena kacau... beer takpe plak



==================================================


saya tinggal kt rumah Rehat Bukit Larut. dua malam.  bawah skit dari Rumah Beringin
yang menghadap titi gantung.
mula2 sampai dah rasa lain dah.. dah la pergi berdua je ( asalnya berenam). kat tgh2 hutan lak tu .

jiran paling dekat pong Beringin je. dekat2 pong kalau menjerit belom tentu Banglo Beringin  boleh dengar. Tapi tawakkal je la..
Rumah kitorg tinggal tu.. bilik 4. setiap bilik ada bilik air yg agak besar. Dengan sliding door yang panjang tanpa ada langsir.

Phewww...memamg kitorg tak berani nak toleh menikmati pemandangan luar lama2 waktu malam... takut ternampak bukan2. tp pemandangan dari anjung tu memamg cantik la..bole nampak gemerlap cahaya pekan taiping n laut n rumah api.

Malam pertama,

ok lagi..kitorg masuk rumah sebelom maghrib. Kitorg make sure sumer pintu bilik tertutup kemas. kitorg pilih bilik paling depan sekali.
malam yang ni ok lagi...lps maghrib je kitorg baca yassin. buat pendinding. kitorg bwk al-quran .

mmg dah prepare awal2 sbb dah tau nk masuk hutan n takut jadi apa2. saya baca kat ruang tamu and kawan saya baca kat bilik. tak de apa3 yang terjadi.. cuma ada bunyi sumthing yang pelik. bunyi orang memasak. tp bukan dari rumah tu. bunyi orang yang memasak dengan sesungguh hatinya ..yang kong keng ..kong keng ..bunyi sudip  berlaga ngan kuali.

nak kata bunyi dari rumah beringin. jarak tak memungkin kan kitorg dengar apa2 dari rumah beringin. n bunyi ni waktu malam je. n ketara antara jam 10-12 mlm n 4-5 pg. n mana ada lg rumah lain dekat2 tu. Rumah tEmpinis jauh ke bawah..memang takkan nampak dari situ. n satu lagi rumah rehat bukit hajau...jauh lg ke atas.

ok mlm kedua

petang tu kitorg tumpang jip staff TM utk ke puncak bukit larut utk tengok sunset. kt puncak tu ada stesen Telekom yang asalnya bekas kediaman J.W.W Birch.

masa kat puncak tu, staff TM tu tanya kitorg "mana lagi kwn2 yg lain?". Kitorang cakap la.. "kitorg datang berdua je". Diorg terdiam sekejap. Pastu staff yang lain menyampuk " diorg ni ada ilmu silat ni". Kitorg dah rasa mcm ada sumthing dari nada diorg ckp tu.   Staff tadi tanya kitorg lagi "Macam mana rumah tu, ok tak?" Kitorang cakap la. alhamdulillah, pakcik setakat ni ok lagi". Pastu yg sorg lg menyampuk."tak ada apa2 kot".

Malam tu masa hantar kitorg, pakcik staff TM dua org tu jenguk masuk rumah kitorg jap. tgk2 kan  keadaan rumah. n siap pesan, tak payah la bukak tV, tv indon byk citer hantu.  Kat ats bukit tu walaupun dekat ngan Pemancar, tp TV indon yg dpt signal lbh kuat. n pesan lagi kat kitorg jangan lah bukak sliding door tu malam2.

Lepas je pakcik tu blah kitong makan2,  tu kitorg dengar lg bunyi org memasak. n malam tu pinggan pong kitorg tak berani nak cuci. rasa x selesa nak berlama2 kt ruang tamu. terus je masuk bilik n tutup pintu...Lepas solat saya rasa malas la plak nak baca yassin. so saya baca beberapa surah3 pendek yg saya hafal je. kwn saya plak, lps solat dia bukak yassin. baru je sikit dia baca... GEDEGANG!!!!  bunyi pintu kena hempas. Pintu dalam rumah tu. saya yang dah nak pejam mata terus tak jadi tidur. bukak al-quran. ulang baca ayat qursi. Walaupun hafal ayat qursi, tp bukak gak al-quran, takut tersalah baca dengan keadaan macam tu. lps tu dengar lg bunyi orang berjalan. n sekejap3 bunyi lak orang berlari.  Di luar bilik kitorg tu. Rasa nak balik rumah time tu jugak.

Kitorg dah tak tercakap apa dah. tak tahu nak g mana. tak tahu nk mintak tolong ngan sapa. kawan saya tu habiskan jugak baca yassin.  even dah abis baca tu pun still lagi ada bunyi org berlari. kitorg tertidur dengan mulut terkumat kamit baca ayat ayat qursi. nasib baik gak bole lelap. tak tahu la macam mana kalau lnsung tak bole lelap. tarik selimut perlahan hahhaha tersedar tgh malam  lansung beb tak berani nak bukak mata hahhaha. n sekali lg pagi3 buta kitorg dengar bunyi orang memasak dengan happynya.

Esok tu..bila dah turun dari bukit larut, baru la kitorg buka cerita masing3. masa kat atas tu memang kitorg tak sebut lnsung pasal menda2 yang kitorg dengar tu. kawan saya lagi kesian, dia tak bole tidur, sebab malam tu dia dengar  pintu rumah (dekat ngan pintu bilik n sliding door) kena ketuk n tendang. saya pengsan time tu. nasib baik la "menda" tak kacau smpai ke bilik.  n setakat bunyi2 je. agaknya sebab pendinding jugak kot

so tu je la cerita nya.. tak de la hebat sgt pengalaman kitorang. tapi buat kitorg yang agak penakut ni, sorry la utk second time. tak sanggup rasanya.


house mate saya.. pegi a month after, pegi by group ramai3. yg group lelaki stay kt rumah kitorg tgal tu... n perempaun rumah beringin.

n  diorg ni jenis berani..lepak3 baring3 n tidur kat anjung tu je.. n malam tu diorg ternampak "anak ponti" kat atas pokok besar. n pokok besar tu menhadap bilik yg kitorg tgal  . n that night jugak ,  dua buaian berayun kt taman tu  dengan sendirinya. nak kata angin, ayunan tu tak sekata plak

==================================================

Aku selalu juga daki Bukit Larut ni terutamanya masa sekolah dulu.
Ini pengalaman aku sendiri tak tahu la angker ke  tidak ok...

Kejadian ini berlaku masa aku Form 2. Pada satu hujung minggu bulan Julai kalau tak silap  English Teacher aku ajak student english group kitaorang (kat sekolah aku belajar BI ikut group) buat aktiviti daki bukit larut ni. Lagi pula dia dah tak lama kat sekolah kitorang sebab kena transfer ke negara lain (coz teacher BI ni org australia) jadi dia nak la ada special moment bersama kami semua.

Oleh itu, salah seorang dari ahli English Group kami dikehendaki menguruskan semuanya dari tempah makanan nk makan kt atas tu,pengangkutan pergi dan balik, hinggalah buat surat utk permission pihak sekolah bagi mintak kebenaran keluar dan buat aktiviti di luar. Orang yang dipertanggungjawabkan untuk buat semua itu adalah aku sebab orang lain tak nak buat. Apabila tiba hari yang ditetapkan, kitorang pun pergi la ke kaki Bukit Larut dengan dihantar oleh driver sekolah dengan menaiki coaster(betul ke eja) sekolah.

Kami  sampai di kaki Bukit Larut pada pukul 8 pagi. Masa ni dah x sejuk sangat. Kami start mendaki dalam pukul 8.15 sebab buat warming up dulu di bawah. Tujuannya untuk mengelakkan kejadian yang tidak  diingini seperti kaki krem masa nak daki nanti. Bekal makanan yang kami bawa air botol 1L dan 0.5L sorang satu ,roti sebungkus sorang dan nasi goreng sorang sebungkus.

Masa nak naik memang penat utk orang yang tak biasa trekking ni. Sebabnya di kaki bukit tu mcam cerun sikit. Tapi lepas tu oklah. Jalan bukit Larut ni ada 180 selekoh yang memang tajam dan bahaya. Lebih kurang 3 jam lepas tu kitorang sampai dekat Tea Garden. Perjalanan lambat sbb kami jalan berkumpulan, tggu kawan2 yg lambat lagi, berhenti di checkpoint bila ada kawan yang dah letih.

Dekat atas tu mmg cantik. Boleh nampak Selat Melaka dari situ {tapi sekarang tea garden ni dah x mcm dulu.Baru semalam pegi tgk dah berubah.Rumah yg dulu dah tak ada. Pokok besar kat situ dengan taman dekat situ pun tak ada dah.}

Kami berhenti di sini sahaja sbb teacher kata tak payah naik sampai atas Nanti nak turun lambat. Mase sampai kt sini mmg kami semua rasa takut tgk rumah disitu. Mmg seram. Dengan cermin pecah-pecah. Kerusi rotan zaman dulu ada di anjung luar,lepas tu rumah tu mmg bersepah kt dalamnya. Mcm ada orang yang tinggal disitu sbb ade baju bergantungan di dalam salah stau bilik tapi takde orang. Mungkin pekerja yang jaga kwasan situ kot. Rumah tu tak berkunci sebab tu kitaorang selamba je masuk. Tapi ade satu bilik di bahagian depan berkunci. Mmg kami explore habis tmpt tu. Kitorang main game hide and seek di situ. Di bawah rumah tu ada toilet dan mcm tempat kurungan. Di bahagian belakang rumah tu mmg semak samun dan ada toilet dan stor. Masa di atas tu tak rasa mcm takut ade hantu ke apa.

Kisahnya selepas kitaorang balik dari Bukit Larut tu...

Masa ni cuti panjang hujung tahun bulan 12. Kejadian ini berlaku waktu maghrib. Mak aku mintak tolong aku caskan hp dia. Masa tu kakak aku tgh pakai telekung nak solat maghrib. Dia nampak aku pegang hp mak aku. Sambil pakai telekung tu dia jerit ngadu kat mak aku kata aku main hp mak aku. Tak tahu kenapa dengan tak semena-mena aku rasa marah ya amat sampai boleh pegi tolak kakak aku yg masa tu baru nak angkat takbir sampai jatuh.

Pastu aku sepak, pukul dia macm orang gila. Kakak aku menjerit-jerit panggil mak ayah aku. Ayah aku pegang aku, aku tolak ayah aku mcm jentik semut je. Berapa kali ayah jatuh sebab aku tolak dia sebab dia halang aku dari nak pukul kakak aku. Kipas stand dekat dalam bilik tu patah dua sebab aku hempuk di lantai. Bilah fan tu patah. Lama la jugak masa yang diambil untuk ayah aku nak tenangkan aku . Mak aku sampai nangis tgk aku buat kakak aku mcm tu. Masa kejadian ni ade sorang makcik ni kt rumah aku. Kira sedara jauhla. Dia cuba pegang aku nak halang aku tapi bila dia tgk aku tenung dia terus dia lepas tangan aku dan lari keluar daribilik.

Esoknya ayah aku bwak pegi jumpa atuk sedara aku. Atuk tanya aku ade masuk hutan tak. Aku cakap la selalu sebab bila cuti sekolah memang ayah aku slalu ajak aku trekking masuk hutan. Pastu aku cerita la kata aku pegi bukit larut dengan English teacher dan kawan-kawan yang lain. Aku cerita jugak kisah kitaorang main di kawasan rumah dekat situ siap explore lagi semua tempat disitu. Pastu atuk sedara tu ckp benda tu marah dekat aku dan kawan-kawan aku sebab kacau tempat dia. Dia marah kitorang sesuka hati pergi jengah tempat dia pastu siap main-main lagi dekat situ. Tapi yang paling dia marah dekat aku sebab masa nak masuk rumah tu semua orang takut nak masuk tapi disebabkan aku selamba je masuk jadi kawan-kawan aku ikut masuk sekali.


tapi mase kajadian tu berlaku aku tak ingat apa-apa pun. aku tak sedar pun aku pukul kakak aku macam orang gila. yang aku ingat perasaan aku masa tu lain sangat. aku rasa marah yang tak tahu macam mana nak cakap.

mengikut makcik yang ade sekali tu, dia tgk muka aku lain macam. dia kata bila aku tenung dia, pandangan aku tu mmg menakutkan..

sekarang ni bila sekali sekal kita orang adik beradik cerita pasal benda ni, serius kalau tanya masa tu aku rasa apa, aku mmg x ingat apa-apa.

yang aku tolak ayah sampai jatuh banyak kali tu pun adik aku yang cerita..adik-beradik aku yang lain cakap dorang semua mmg takut tgk aku masa tu..


tapi, lepas bukak sekolah aku lupa nak tanya pada kawan-kawan english group yang adakah mereka juga mengalami sama macam yang aku alami.. sampai sekarang aku lupa nak tanya benda tu..

==================================================

Guru Hilang di Bukit Larut

2011/04/26
TAIPING: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dikerah mengesan guru Sekolah Menengah King Edward VII, Abdullah Zubair Ismail, 27, yang dilaporkan hilang selepas mendaki Bukit Larut di sini, pagi kelmarin, mendengar suara orang meminta tolong namun tidak menemui sesiapa pun di lokasi suara itu kedengaran.

Empat belas anggota SAR yang terdiri daripada anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Taiping menyertai operasi itu bermula jam 10 pagi semalam, namun tidak menemuinya sehingga jam 6 petang semalam.

Mangsa yang berasal dari Alor Setar, Kedah dan sudah setahun setengah mengajar di sekolah itu dikatakan mendaki bukit peranginan berkenaan bersendirian kira-kira jam 10 pagi kelmarin tetapi tidak pulang selepas itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata kehilangan Abdullah Zubair dilaporkan rakannya selepas gagal menghubungi telefon bimbit mangsa sebelum ke kaki Bukit Larut pagi semalam dan terkejut menemui kereta mangsa masih berada di tempat letak kenderaan di situ.

“Selepas menyedari kemungkinan sesuatu perkara buruk berlaku, rakan mangsa memaklumkan kejadian itu kepada polis. Berikutan laporan itu satu pasukan SAR ditubuhkan untuk mengesan mangsa.

“Ketika melakukan operasi, mereka mendengar suara mangsa meminta tolong di lokasi tertentu tetapi apabila tiba ke lokasi itu, mangsa tiada di situ. Jika keadaan ini berterusan kita kena ambil ikhtiar lain untuk menyelamatkannya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Yusuf berkata, pihaknya juga akan menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) bagi mengesan mangsa dan tidak menolak kemungkinan meminta bantuan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika mangsa masih gagal ditemui hari ini.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung mangsa diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di talian 05-8080222.

==================================================

nk tumpang cite jugak. cite ni dari abg pejan. a few years ago. masa ni abg pejan  blajar di matrikulasi depan zoo. ada sorang kawan perempuan dia pergi naik bukit larut ni sorang2. yang x brapa nak bestnya masa sebelum dia naik tu dia ada cakap kat abang pejan yang dia rasa macam ada orang panggil2 dia naik bukit larut tu.

after a few days dia hilang. lepas tu kawan2 yg tau apa yang dia rasa tu cite la kat orang yang berkaitan untuk cari dia. polis n pihak2 yang berkaitan semua naik ke bukit larut cari dia tapi x jumpa2 sampai la seminggu selepas tu dia turun dengan sendiri. masa turun tu dia ada bawak alquran sejadah n tasbih.

disebabkan abg pejan ni antara yang paling rapat dengan dia jadi cikgu2 mintak abang pejan tanyakan dia apa yang dia buat kat atas tu. dia cerita kat abg pejan yang dia pegi kat air terjun ats bukit larut tu then dia solat baca alquran n berzikir je. dia bagitau abg pejan yg dia nak naik lagi ke bukit larut tu lepas ni.

dia masih rasa macam terpanggil2 untuk naik lagi. abg pejan pun bila dah dengar macam tu dia pun beritau la dekat pihak  pengurusan. pihak pengurusan hubungi family dia untuk bawak dia balik berubat. lepas balik dari berubat lebih kurang dalam sebulan macam tu. sikap dia berubah. dia x suka bercakap dengan orang. suka bersendiri. sampai la 1 hari dia naik semula ke bukit larut dan x turun2 lagi dah.  ni cite dari mulut abg pejan. kalau bohong dia bohong la pejan. wallahhualam

==================================================

Guru hilang berjoging di Bukit Larut ditemui mati


TAIPING 26 April - Seorang guru yang dilaporkan hilang semasa keluar berjoging seorang diri di Bukit Larut di sini, kelmarin, ditemui mati di sebuah gaung sedalam kira-kira 10 meter di kawasan bukit itu hari ini.

Mayat Abdullah Zubair Ismail, 27, dijumpai dengan kesan kecederaan di kepala oleh pasukan mencari dan menyelamat, kira-kira lima kilometer dari kaki bukit itu, pukul 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohd. Yusof Diah berkata, siasatan awal polis percaya guru Sekolah Menengah King Edward VII di sini itu tergelincir semasa mendaki laluan curam dan licin di dalam hutan Bukit Larut.

"Sebaik sahaja ditemui oleh anggota penyelamat, mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Taiping untuk dibedah siasat," katanya kepada pemberita di pekarangan Hospital Taiping, di sini hari ini.

Abdullah dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar berjoging di Bukit Larut pada pukul 10 pagi, kelmarin.

Isterinya, Noorazieah Zulkifli, 26, yang juga seorang guru memberitahu, kali terakhir dia bertemu Abdullah semasa suaminya menghantarnya pulang ke Tanjung Karang, Selangor, pada 18 April lalu.

Guru pelatih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Burung, Tanjung Karang itu, berkata, Abdullah ada menyatakan hasrat untuk berjoging di Bukit Larut semasa menghubunginya pada malam Sabtu lalu.

"Saya tidak menggalakkan dia berjoging di Bukit Larut sebab tahu dia agak kepenatan. Semasa kali terakhir berhubung dengan dia pada pukul 8.30 pagi kelmarin, suami saya cakap mahu keluar sarapan.

"Saya tidak sangka dia tetap ke Bukit Larut sehingga diberitahu tentang kehilangannya pada pagi semalam," ujarnya.

==================================================
Dari forum Cari

No comments:

Post a Comment