Saturday, February 25, 2017

Kisah Seram: Kejadian di Padang Golf

Ketika kegawatan ekonomi tahun 1997, Ali antara beribu graduan yang terkesan darinya. Walaupun memegang ijazah pengurusan kelas pertama, Ali begitu terseksa dengan status sebagai penganggur setelah 6 bulan bersusah-payah mencari pekerjaan. Pakciknya menasihatkan untuk tidak memilih pekerjaan bersesuaian dengan taraf pendidikan. Buat sementara waktu, carilah kerja dimana-mana hatta pembasuh pinggan sekalipun asalkan halal. Tapi masalahnya, keadaan ekonomi yang begitu parah waktu itu, minta kerja di KFC pun tak dapat.

Di atas pertolongan pakcik, Ali diterima bekerja sebagai eksekutif di sebuah kelab golf. Gaji yang ditawarkan memang menyedihkan tapi terdesak punya pasal ditambah pula dengan kelab golf yang cuma 20 minit dari rumah membuatkan Ali terima dengan hati terbuka. Atas kertas nama posisi ialah eksekutif tapi realitinya Ali buat semua jenis pekerjaan, dari menguruskan yuran tahunan ke buat air kopi, beli biskut, pasang lampu, betulkan mesin fotostat, sapu lantai, siram pokok bunga dan sebagainya.

Satu hari Ali antara yang diarahkan untuk mengutip bola-bola golf dalam kolam sekurang-kurangnya 100 biji kerana ada tournament. Oleh kerana tak sanggup nak berjemur tengah panas, dia bercadang mengutip pada waktu malam.

Malam menjelma, berbekalkan lampu suluh dan juga cahaya bulan, Ali memasuki kolam paras pinggang dan berjalan secara sistematik untuk mengesan bola golf di dasar menggunakan kaki. Setiap kali dia terpijak bola, dengan menggunakan peralatan snorkelling, Ali akan bongkok masuk dalam air untuk mencapai bola yang telah dikepit dengan jari kaki.

Mulut tak sudah-sudah menyumpah dua orang Bangla yang sepatut bersama dia malam itu yang tiba-tiba tak datang. Kata Ali, bukan mudah nak kutip bola dari dasar tasik kerana setiap kali dia nak kutip itu, ia mengambil masa untuk meraba-raba kaki sambil tahan nafas makanya baru bola ke sepuluh Ali dah penat.

Persekitaran padang golf waktu malam kata Ali macam padang pasir kerana bukit-bukit kecil buatan manusia kelihatan tidak berwarna di bawah cahaya bulan. Kolam itu merupakan satu-satunya kolam di padang golf dan memang besar lah saiznya. Ali memang yakin tak dapat 100 bola tapi lantaklah, sekurang-kurangnya dia boleh salahkan dua Bangla itu besok pagi.

Rancangannya nak cuba dapatkan 30 bola sahaja kerana seorang buat kerja mana larat nak kutip sampai 100. Nasib baik juga lah banyak bola di dasar kolam jadi tak susah sangat dia nak cari satu-satu. Tengah rancak menyelam masuk keluar air kolam, desiran nyaring dedaun di hutan pinggir padang golf kedengaran. Angin kuat menghembus seperti mahu ribut tetapi tiada petir. Ali menghentikan aktiviti dan berdiri tegak di tengah kolam, menunggu angin reda.

Bulu roma meremang, bukan kerana kedinginan bayu malam tetapi kerana terasa keseraman berada sendirian di tengah padang berbukit yang luas. Ali berputar melihat keadaan sekeliling dan terhenti sebentar degupan jantung, terkejut melihat ada benda berbalut putih tegak di puncak salah satu bukit. Pada mulanya Ali ingat payung besar yang dikuncup. Biasanya kalau ada acara golf, orang akan letak siap-siap payung-payung besar di sekitar padang golf sehari sebelumnya.

Tapi ada sesuatu yang tak kena dengan payung tersebut. Bentuk payung seakan manusia kerana ada bentuk kepala, bahu kemudian tirus ke bawah. Atas dan bawah pula ada ikatan seperti...

"POCONGGG!!" Ali menjerit ketakutan dan bertungkus-lumus cuba keluar dari tasik. Tapi setiap langkah terasa amat berat seolah-olah ada batu diikat pada kaki. Kata Ali, dia yakin benda alah itu tidak statik kerana ia jatuh meniarap dan berguling-guling menuruni bukit kemudian muncul di puncak bukit yang lain sambil berdiri tegak dengan sendirinya.

Dengan segala tenaga yang ada, Ali mempercepatkan langkah tapi semakin lama, semakin jauh dari gigi tasik, macam tiba-tiba tasik bertambah luas. Air mata berjujuran dan surah apa yang terlintas di kepala, di laungkan sekuat yang boleh. Kedudukan tasik jauh di tengah padang membuatkan tiada siapa boleh dengar jeritannya. Dia toleh ke belakang untuk lihat pocong dan kosong, pocong tersebut sudah hilang. Ali lihat sekitar kolam dan mendapati dia masih di tempat sama sebelum ternampak pocong. Dia cuba menggerakkan kaki dan tiada rintangan dirasakan, tidak membuang masa, Ali bergegas keluar dari tasik.

Ali terbaring kepenatan sambil melihat langit malam, cuba menenangkan diri. Beberapa minit kemudian dia bangun dan sebaik badannya tegak...

"Astagfirullah!"

Seorang wanita mata sepet seperti Cina dengan rambut panjang lurus belah tengah berdiri tengah kolam melihat ke arahnya sambil tersenyum. Kata Ali, perempuan Cina itu tidak berpakaian dan dada ditutup dengan rambut yang begitu panjang sehingga terapung memenuhi sebahagian besar permukaan air.

Perempuan itu memanggil-manggil Ali dengan tangan tapi sudah tentulah Ali ambil langkah seribu. Dengan berkaki ayam, Ali memecut pergi ke arah rumah kelab, mendaki dan menuruni bukit-bukau. Memang jauh kalau tak pakai golf cart menuju ke rumah kelab tapi dia tak sanggup patah balik dan naik cart, ditambah pula dengan kemungkinan mana tahu tiba-tiba amoi tasik menumpang sama.

Ali tewas dengan kepenatan dan jatuh ke tanah. Susah untuk dia mengenal pasti arah ke rumah kelab dalam kegelapan malam walau ada cahaya bulan. Disebalik cungapan, Ali mendongak kepala mencari rumah kelab tapi cuma nampak sillhoute hitam di horizon.

Suara wanita ketawa kedengaran di padang golf. Hilai tawa itu bukan macam dalam filem seram yang mengilai ada gema itu tapi macam ada perempuan 10 - 20 meter darinya ketawa terbahak-bahak. Kata Ali, dalam tawa itu siap ada cakap "adoii" lagi.

Dari rasa takut bertukar marah. Dia yakin dia telah dipermainkan, ini mesti ada siapa-siapa yang kurang ajar menakut-nakutkan dia walaupun dia rasa tak ada orang dari kelab golf yang sanggup buat prank sehingga tahap sebegitu.

Ali pantas berdiri dan menjerit.

"WOII SIAL!! KO INGAT KELAKAR KE HAH!!"

Ketawa terhenti dan suasana kembali hening. Tiba-tiba terdengar gema jauh dari depan...

"WOII SIAL!! KO INGAT KELAKAR KE HAH!!"

Apa yang membuatkan Ali terketar lutut, suara itu ialah suaranya sendiri. Mahu kata gema, dihujung makiannya mana ada dia ketawa tapi ini ada ketawa perempuan tadi.

Nun jauh di depan, di salah satu puncak bukit, ada bayang-bayang manusia berdiri dan melambai dengan dua tangan.

"WOII SIAL!! KO INGAT KELAKAR KE HAH!!"" Gema di hujung sebelah kiri.

"WOII SIAL!! KO INGAT KELAKAR KE HAH!!" Gema di hujung sebelah kanan.

"WOII SIAL!! KO INGAT KELAKAR KE HAH!!" Gema di hujung belakang.

"~woi siiialll~" Suara perempuan berbisik betul-betul di telinga kiri. Terlompat Ali sambil menampar-nampar telinga kiri. Dia hilang kawalan lalu jatuh berguling ke bawah bukit dan terdampar di kawasan berpasir.

Waktu itu kata Ali dia dah menangis teresak-esak macam anak kecil. Sambil menangis dia minta tolonglah jangan ganggu dia lagi. Ali berpeluk tubuh di permukaan pasir kerana sudah tak sanggup nak berdepan dengan gangguan-gangguan.

"Main pasir nak?" Suara kanak-kanak menghentikan sesi raungan. Ali melihat ke depan dan mendapati ada seorang kanak-kanak perempuan, mungkin sekitar 4 tahun sedang mencangkung sambil menguis-nguis pasir halus.

"Waarrgghhhhh" Jeritan Ali yang bingkas bangun dan mengiringi larian tanpa tujuan. Dia menuju ke arah hutan di pinggir padang golf kerana sudah tak tahu nak pergi ke mana lagi.

Dalam hutan, Ali teraba-raba kerana rimbunan daun di bumbung hutan menghalang cahaya bulan dari menerangi persekitaran. Tengah dia cuba mencari arah tujuan, kaki tersepak akar lalu terjelepok jatuh.

"Abang, abang...mana abang nyorok, kita nak main juga" Ali terus mengatup mulut dengan kedua belah tangan sebaik terdengar suara wanita dalam hutan tersebut.

Kata Ali, kalau ada orang mesti terdengar dedaun kering dipijak, tapi ini suara ada tapi bunyi tapak kaki tak ada. Ali menekup mulut dan hidung serapat yang boleh sampai mengigil-gigil.

"Abang...abang.." Suara wanita berterusan berlegar-legar sekeliling hutan semak.


"WOI SIAL!" Suara keras lelaki menggantikan suara wanita tadi. Apa yang membuatkan Ali terkencing dalam seluar waktu itu ialah suara makian itu adalah suaranya sendiri.

"EeeeeEEEeeeEEeeeEEEeeEEeeeEE"

Dari tekup wajah, Ali mengalihkan tangan untuk menekup telinga. Tiada apa yang lebih seram dari mendengar suara sendiri mengilai-ngilai.

"KALAU AKU DAPAT AKU, AKU NAK RODOK PERUT KAU, AKU NAK MAKAN ISI PERUT KAU, AKU NAK..." Ugutan berterusan dengan penjelasan terperinci yang amat grafik tentang apa yang makhluk itu mahu perlakukan pada Ali jika dia ditemui. Kata Ali, dia dah nak hampir gila sebab ketakutan yang amat sangat dan pada masa yang sama tidak dapat menerima realiti situasi tersebut, rasa macam mimpi ngeri yang ekstrem.

Ugutan berhenti dan hutan rimba menjadi hening, sekali-sekala daunan berdesir ditiup angin. Ingatkan dah terhenti suara, selesai masalah rupanya sunyi begitu lagi menyeramkan kerana Ali tak tahu dimana jembalang itu berada sekarang.

"Adikkk...Adikkk...keluarlah..moh kita balek" Terbuntang mata Ali mendengarnya. Di rumah nama panggilan ialah Adik dan cara suara itu pun seperti gaya maknya bercakap tapi apa yang menambah keseraman, itu bukan suara wanita, tapi suara lelaki, lebih tepat lagi, suaranya sendiri.

"Bangg..Bangg...jom la main dengan adek" Suara budak-budak pula dah.

Suara wanita berpura-pura jadi mak, suara kanak-kanak dan suaranya sendiri bergilir-gilir memanggil Ali keluar dari persembunyian. Ali menekap kedua serapat yang boleh dan cuba memainkan lagu kegemaran dalam kepala untuk tidak memikirkan sangat situasi gila sedang dihadapinya ketika itu.

Ali tak sedar bila dia tertidur. Sedar-sedar aja dah terang. Dia bingkas bangun sambil disambut sinaran terik matahari dan kenyaringan bunyi cengkerik. Tanpa buang masa Ali berlari keluar hutan menuju ke padang golf. Semburan air automatik tidak dihiraukan dan Ali meninggalkan bola-bola golf yang telah dikutip malam tadi bergelimpangan tepi tasik. Dia tak sanggup nak tengok pun kawasan tasik tersebut.

Dia menerjah masuk ke pejabat pengurusan rumah kelab. Kak Bibah, salah seorang pekerja pentadbiran terkejut melihat Ali dalam keadaan tidak keruan dan tidak terurus.

"Bos mana Bos?" Tanya Ali tergopoh-gapah.

"Baru pukul 9, Bos mana masuk lagi" Terang Kak Bibah sambil tengok Ali atas bawah. Ali tak teringat yang bos biasanya masuk lepas waktu makan tengahari.

"Engkau ni dah kenapa Ali?" Tanya Kak Bibah yang masih dalam keadaan terkejut.

Ali terduduk atas lantai lalu menangis. Diceritakan kejadian malam tadi sambil ditenangkan Kak Bibah. Kata Ali, Kak Bibah diam sahaja sewaktu Ali bercerita.

"Kak Bibah mintak maaf lah Ali. Sebenarnya ade cerite pasal tempat ni yang kitaorang tak bagitau kat kau" Wajah Kak Bibah berubah menjadi sedih dan tona suara seperti ada rasa menyesal.

Sebelum kelab golf dibangunkan, kawasan itu merupakan tanah rizab hutan simpan. Sebelum ini kawasan tersebut menjadi tempat penyelidikan banyak universiti kerana kaya dengan flora dan fauna. Namun begitu, adalah beberapa pemaju yang mempunyai kepentingan tersendiri berniat menjadikan kawasan atas bukit itu sebagai Fraser Hill kedua. Walaupun mendapat tentangan, kawasan tersebut diratakan dan dijadikan padang golf.

Sewaktu dalam proses perataan, mereka terjumpa tasik di tengah hutan. Kalau ikut perancangan asal, memang tiada tasik dan mereka bertindak cuba mengambus tasik tersebut. Setiap kali mereka cuba kambus pasti ada malapetaka, jentera rosak lah, pekerja diserang segerombolan tebuan yang tak tahu dari mana datangnya, para pekerja sakit misteri secara tiba-tiba dan macam-macam lagi.

Penyelia pekerja kontrak memaklumkan kepada bos bahawa mungkin tasik itu ada penunggunya. Pemaju cakap 'nonsense' dan mengarahkan kerja-kerja pengambusan dijalankan walau apa cara sekalipun. Tapi setiap usaha mengambus akan berakhir dengan kegagalan sampai berapa kali tukar pasukan pekerja. Hari menjadi minggu, minggu menjadi bulan, mereka masih tak dapat meneruskan aktiviti pembangunan kerana tersangkut dengan tasik itu.

Pemaju akur dan meminta bantuan bomoh. Dari bomoh Melayu ke bomoh Cina, bomoh India sampai panggil bomoh Siam, Indonesia semua tak boleh nak halau penunggu tasik. Kata mereka, ini bukan jembalang belaan manusia yang dicampak ke sana seperti biasa orang membela buat, tapi ini semangat hutan yang memang menetap di situ dan pemaju-pemaju memusnahkan rumah mereka.

Bajet dah berlebih dan tempoh pembangunan pun dah berapa kali dilanjutkan. Nak tak nak, pemaju terpaksa memasukkan tasik tersebut dalam pelan dimana itu membuatkan para pemaju rugi kerana bajet berlebihan.

Siap sahaja padang golf, ia dibuka tanpa berlengah-lengah lagi untuk mendapat keuntungan secepat yang boleh demi membayar hutang-hutang. Kelab golf di promosikan sebagai kelab golf pertama dibuka untuk bermain di malam hari. Zaman itu, tak pernah orang buat main golf malam hari kerana kos yang tinggi, menanggung bil elektrik lampu-lampu yang digunakan.

Malam pertama dilancarkan, orang lari bertempiaran apabila mereka ternampak 'bigfoot' di tengah padang golf. Akhirnya kelab golf itu bankrup dan dijual ke orang lain. Pemilik baru iaitu sekarang membeli dengan harga murah dan menawarkan pakej keahlian termurah. Oleh kerana pakej murah, kelab golf itu menjadi tempat kegemaran orang-orang politik/perniagaan kampungan/kelas bawahan yang baru nak main mula main golf.

Gangguan memang berterusan tapi hanya terjadi sebaik matahari terbenam. Pekerja-pekerja am Bangla disitu memang sudah maklum dengan kekerasan tempat itu dan Kak Bibah kesal kenapa mereka tak bagitahu Ali awal-awal. Agaknya dalam ramai-ramai yang pernah terkena, Ali paling ekstrem lah kot.

Kak Bibah menyuruh Ali bercuti sahaja hari itu. Pandai-pandailah dia bagitahu bos nanti bagaimana. Ali pulang ke rumah pagi itu dan itulah kali terakhir dia menjejakkan kaki di kelab golf itu.

================================
from author dammerung dari cari forum

1 comment: