Saturday, January 14, 2017

Kisah Seram: Damansara, 1992

Pada suatu malam, sekumpulan pekerja buruh bersantai di rumah kotai.Mungkin sebab kebosanan, salah seorang dari mereka mencadangkan supaya berkongsi kisah-kisah seram sebagai hiburan.

Untuk menambah feel keseraman, sebatang lilin dinyalakan sebagai sumber cahaya dalam ruangan yang sengaja di tutupkan lampu. Masing-masing berkongsi pengalaman mistik mereka. Ada yang serius, ada yang main-main, ada yang jelas bohongnya dan ada juga yang menceduk filem-filem seram dan di olah menjadi cerita sendiri. Meriah lah suasana dengan hilai tawa dan asap rokok kretek.

Salah seorang dari mereka bertanya yang malam ini malam Selasa Kliwon kan?

Semua terdiam, baru teringat yang malam tu malam keramat. Mamat yang tanya tadi rasa bersalah sebab jadi party pooper dan untuk membaiki keadaan,dinyalakan 3 batang lilin lagi. Dia mencadangkan supaya semua orang menyumbangkan cerita, tak kisah lah cerita seram ke, cerita kelakar ke, cerita sedih ke tapi setiap lilin akan dipadamkan selepas habis 10 cerita. Kiranya selepas 40 cerita, maka terpadamlah keempat-empat lilin dan menandakan sesi melepak malam tu tamat.

Mood kembali meriah dengan masing-masing cuba top cerita yang lain.Satu-satu lilin di padamkan sehinggalah ke lilin yang terakhir. Orang yang giliran berceritanya dah sampai bertanya, cerita dia yang keberapa?

Setelah mencongak, semua terkejut. Kalau diikutkan tak banyak mana pun cerita-cerita yang telah disampaikan. Semua mengaku mereka cuma bercerita dua kali. Di ruangan ada 6 orang, maknanya baru 12 cerita.


Tapi semua mengesahkan banyak cerita yang didengar dan tiada siapa protes waktu lilin di padamkan. Bila di trace semula cerita masing-masing,terdapat beberapa cerita yang tak tahu siapa penceritanya. Terjadilah tuduh-menuduh, si A cakap si C yang cerita dan disahkan si B, tapi si C tak mengaku dan di sokong oleh lain-lain cakap mana ada dia cerita. Perkara yang sama berulang-berulang kepada orang lain pula.

Salah seorang menyuruh semua diam. Matanya tertumpu ke arah dinding plywood di sekeliling mereka.

Dalam nada berbisik dia bertanya, dalam rumah ni ada 6 orang aja kan?Tapi kenapa bayang-bayang kat dinding tu ada ramai?

Bila toleh ke belakang, benar kata teman mereka. Terdapat lebih dari 6 bayang-bayang berbentuk orang yang dipantulkan cahaya lilin ke dinding.

Semua tak berani bergerak, bersuara apatah lagi. Bayang-bayang misteri kemudiannya berdiri dan berjalan.

Ia menuju ke arah tingkap dan pintu yang terbuka. Tiba-tiba pintu dan tingkap dikerumuni. Apa yang menakutkan kata sang pencerita, wajah-wajah orang-orang di luar adalah wajah-wajah keenam-enam mereka yang berada di dalam rumah.

Secara beramai-ramai, makhluk-makhluk di luar rumah berkata..

“Aku pun nak bercerita, aku pun nak bercerita, aku pun nak bercerita …”

Menurut sang pencerita, mereka cuma mampu membatukan diri sehinggalah waktu subuh apabila penampakan-penampakan di luar hilang begitu sahaja. Mereka juga sepakat untuk merahsiakan apa yang terjadi tersebut kerana bimbang akan perkara-perkara tak diingini sekiranya diceritakan ke orang lain.

Tidak lama selepas malam kejadian seorang demi seorang menemui ajal. Ada yang kemalangan di tempat kerja, ada yang mati sakit misteri, ada yang mati overdose dadah. Sang pencerita juga claim salah seorang dari 6 orang itu menceritakan kepadanya seminggu sebelum terlibat dalam kemalangan motorsikal yang meragut nyawanya...

================================
from author dammerung dari cari forum

No comments:

Post a Comment