Monday, February 13, 2017

Kisah Seram: Nabi Bahar


gambar sekadar hiasan,
ehsan from google..

Aku pernah bertugas selama setahun di Indonesia. Semasa disana aku mengupah seorang lelaki tempatan sebagai supir peribadi sebab aku tak nak memandu, dan juga sebab standard rate untuk perkhidmatan personal driver sangat berpatutan.

Aku mengenali Anton dari kenalan warga tempatan yang memaklumkan bahawa anak rakannya menawarkan khidmat chauffeur dan dipendekkan cerita, Anton menjadi pemandu peribadi aku dengan kereta Toyota Kijangnya.

Seperti biasa, aku cuba korek cerita dari Anton dan pada mulanya dia tak berapa warm to the idea dan cuma cakap "ga pernah pak, kok mau cari perkara-perkara aneh gitu, hidup biasa aja udah rame sulitnya" dengan berseloroh.

Pada satu hari, aku dalam perjalanan ke Bandung dari Jakarta dan sangkut dalam traffic jam atau dalam bahasa Indonya 'macet'. Kalau siapa pernah ke Bandung dari Jakarta ikut highway mungkin pernah merasa lah bahana sangkut dalam macet ni. Pada mulanya aku steady lagi tapi lepas 3 jam aku surrender. Walaupun aku tak driving tapi duduk aja pun penat juga, berkematu buntut aku.

Macam-macam lah aku berborak dengan Anton, kebanyakkan pasal kehidupan dia dan sebagainya. Sehinggalah ke satu topik ni aku tak ingat macam mana mulanya, Anton cakap kejadian paling pelik dan tak boleh lupakan adalah ketika dia masih di kampong halaman iaitu di dalam daerah Padang, Sumatera Barat.

Sebelum berhijrah ke Jakarta, Anton menjalankan perniagaan persupiran di Padang. Pelanggan terdiri dari warga tempatan yang dah bermastautin di luar Sumatra dan mengupahnya untuk durasi tertentu membawa mereka sekitar Sumatera Barat, biasanya untuk menghadiri acara perkahwinan. Selain dari jadi pemandu peribadi, ada masa Anton ditawarkan untuk jadi 'penghantar' dimana orang beli kereta di Sumatra atau ada kereta di Sumatra tapi nak bawa ke Jakarta, Anton akan dibayar untuk memandu kereta tersebut dari Padang sampailah ke Jakarta yang mengambil masa sekitar dua hari.

Kata Anton, biasanya dia tolak tawaran sebegitu kerana berisiko tinggi tapi untuk kes-kes tertentu dia ambil tawaran tersebut, itu pun atas dasar terdesak. Pada pertengahan tahun 1990, seorang hartawan Padang mahu mengupah Anton untuk menghantar kereta Honda Accord ke anaknya yang menetap di Jakarta. Masa itu anak sulung Anton dalam persediaan mahu mengambil ujian masuk universiti jadi perlu pakai banyak duit untuk hantar tusyen dan sebagainya.

Anton ditawarkan upah sekitar 1500 ringgit kalau convert ke RM dan itu tak termasuk kos logistik macam minyak sebagainya dimana akan diberi berasingan. Dia bawa bersama adiknya yang bertindak sebagai kelindan. Setelah melakukan perancangan, dia bercadang untuk memulakan perjalanan minggu berikutnya.

Perkhidmatan pemandu ni bukanlah sesuatu yang asing di Sumatra kerana ramai yang berkecimpung dalam industri ini, cuma bila melibatkan pemanduan untuk jarak teramat jauh, terutamanya melewati bahagian selatan kepulauan Sumatra menuju ke pulau Jawa, ramai yang keberatan dan hanya yang betul-betul otai sanggup ambil job macam tu.

Ini bukan sebab malas nak memandu jauh tapi kata Anton, jalan menuju ke Lampung (tempat naik feri menuju ke pulau Jawa) itu melalui penempatan-penempatan terpencil dimana ramai penduduk jadi lanun jalanan merompak kenderaan yang lalu-lalang. Dengan berbekalkan parang panjang dalam kereta, Anton memulakan perjalanan seawal Subuh.

Untuk 5 jam pertama tak ada masalah. Malah dia enjoy sebab pemandangan cantik. Bila masuk sahaja ke kawasan kampong, Anton mula memandu berhati-hati dan mengekori agak rapat beberapa buah lori yang melalui jalan yang sama.

Beberapa suspicious characters berpeleseran tepi jalan melihat tajam kereta lalu-lalang. Anton menyuruh adiknya supaya tidak bertentang mata dengan mereka. Kata Anton, banyak kampung di kawasan itu yang mengamalkan 'undang-undang rimba' dimana hukum 'hutang darah dibayar darah' dipraktikkan secara meluas. 

Katalah dia terlanggar binatang ternakan, memang masaklah dikerjakan penduduk kampung, apa lagi kalau terlanggar penduduk kampung yang melintas jalan ikut suka hati. Kata Anton kalau terlanggar mati, memang dia pun akan di'mati'kan oleh penduduk kampung.

Jadi dia berhati-hati kerana penduduk kampung pun boleh tahan banyak akal, kadang-kadang ada yang sanggup melompat depan kereta supaya dilanggar. Kemudian boleh 'ketuk' minta pampasan sampai tahap tanah pusaka pun boleh tergadai. Aku tanya takkan la sampai macam itu kot, Anton cakap "Bener pak, orang-orang ini tau soalnya gimana apa segala, kayak ada sindiket gitu"

Tiba di satu simpang, semua lori belok ke kanan manakala Anton mahu ke kiri. Dia serba-salah, lori-lori itu amat diperlukan sebagai perlindungan tetapi dia tak boleh belok kanan kerana lain route nya. Mahu berhenti sehingga ada lori lain ambil masa pula, dan kalau kereta tak bergerak lagi lah jadi 'sitting duck'.

Jadi Anton ambil keputusan untuk berhadapan dengan risiko memandu di jalan kampung seorang diri. Adiknya dah standby letak parang atas riba. Mereka melintas depan beberapa mat rempit yang melepak di tepi jalan dan mula mengekori dari belakang dengan motor jipang masing-masing. Anton melajukan kenderaan tapi tak boleh nak laju sangat disebabkan jalan bengkang-bengkok.

Walaupun air-cond set ke maksimum tapi peluh merecik di dahi. Memang gemuruh habis kata Anton. Tapi selagi dia menjarakkan kenderaan sewajarnya dengan gerombolan motorsikal di belakang, kuranglah sikit kemungkinan nak kena rompak itu. 

Tiba-tiba satu benda jatuh berdebuk betul-betul atas jalan raya dan Anton tak sempat nak elak. Dia terlanggar dan hilang kawalan. Kereta masuk dalam parit. Dengan mata masih terkebil-kebil, tubuhnya diseret keluar dengan kasar.

Kata Anton, dia dipaksa melutut dan melihat sekujur tubuh wanita penuh dengan darah terbaring atas jalan. Bermati-matian dia kata yang mayat tersebut jatuh secara tiba-tiba dan bukan kerana dilanggar olehnya. Sudah tentulah orang-orang kampung tak percaya, atau buat-buat tak percaya.

Anton dan adiknya dibawa ke tengah kampung dan dipasang pasung sebelum dicampak ke dalam kandang diperbuat dari besi pagar. Berkali-kali dia merayu minta dibawa ke balai polis dimana dia sanggup mengaku salah asalkan bawa dia dan adiknya ke balai polis tapi orang-orang tak memperdulikan rintihan Anton. Malah kata Anton, bila dia tak dapat cam pertuturan orang-orang kampung berkenaan yang menggunakan bahasa tak pernah didengar sebelum ini.

Malam menjelang dan Anton serta adiknya diganggu oleh sekumpulan kanak-kanak yang girang menyucuk-nyucuk mereka menggunakan buluh runcing dari luar penjara. Kadang-kadang budak-budak sialan itu campak lipan dan kala jengking ke Anton dan adiknya. Anton cuba memarahi tapi lagi dia marah, lagi rancak gangguan yang diterima.

Apabila hampir tengah malam barulah gangguan berhenti sebab budak-budak itu balik rumah. Kata Anton, tubuh dia dan adiknya penuh dengan luka-luka diseksa oleh kanak-kanak tadi dan mereka tersadai keletihan. Itu baru malam pertama dan memang dah rasa takkan sempat hidup sampai malam besoknya.

Ketika tengah bersedih meratapi waktu-waktu terakhir sebelum dihukum mati, sekumpulan lelaki datang kepadanya. Di tengah-tengah kumpulan, seorang lelaki berjubah dan berserban putih dengan janggut panjang beruban berdiri dihadapannya.


Kata Anton lelaki tersebut tak berkata apa-apa dan cuma melihat dia dan adiknya dalam kandang dengan kaki berpasung. Begitu juga dengan sekumpulan lelaki di belakang lelaki tua, memang heninglah.

Melihat dari gayanya, kemungkinan besar lelaki berserban putih itu adalah ketua komuniti. Anton cuba merayu sambil meraung-meraung kepada lelaki berserban dengan harapan seseorang yang kuat pegangan agama mesti ada sifat pengampun. Tapi lelaki tua berserban hanya melihatnya dengan pandangan yang pasif, tiada cahaya empati di mata.

"Udah siap?" Tanya lelaki berserban itu tenang tetapi tegas.

Tak perlu ditanya apa maksudnya kerana Anton faham lelaki tua itu tanya adakah dia sudah sedia untuk dihukum mati. Lagi bertambah kuat raungan Anton dan adiknya merayu supaya dilepaskan. Dia cuba meraih simpati dengan menceritakan keadaan keluarganya yang susah, kalau dia dan adiknya mati, mak ayahnya yang sudah uzur tidak akan terjaga dan sebagainya.

Tidak sedikitpun perubahan di wajah lelaki-lelaki di hadapannya. Tak tahu apa yang boleh dibuat lagi, Anton meneruskan raungan merayunya. Berkali-kali dia panggil "bapak, bapak" kepada lelaki berserban putih.

Salah seorang dari kumpulan lelaki kampung menendang kandang besi.

"Sialan! ini bukan bapak! Nabi Bahar! Nabi Bahar!" Gertak lelaki yang menendang sambil menunjuk ke arah lelaki berserban.

Kata Anton waktu itu dia tak mempersoalkan kenapa ketua mereka digelar "Nabi" tapi whateverlah. Nabi pun nabi lah. Anton dan adiknya meneruskan rayuan dengan memanggil "Nabi Bahar" berkali-kali.

Senyuman kecil terpancar di bibir Nabi Bahar. Dia mendekati kandang besi dan bercangkung bertentang Anton dan adiknya.

"Berubah kamu jadi pengikutku. Bersumpahlah bahwa aku ialah pesuruhNya dan kata-kataku adalah syahadah kamu pada ajaranku"

Terpinga-pinga Anton mendengar kata-kata Nabi Bahar. Kemudian, lelaki yang mengaku sebagai Nabi itu menawarkan pengampunan, tapi dengan syarat.

"Kamu dan dia (adik Anton) bersumpah jadi pengikutku dan ga akan tinggalkan keluarga kamu di kampung"

Anton dan adik beria-ria mengangguk dan menyatakan persetujuan. Jadi pengikut ajaran sesat pun bolehlah, janji hidup, nanti dah settle down semua pandai-pandailah dia dan adik larikan diri. Sekurang-kurangnya kliennya mungkin akan melaporkan pada pihak berkuasa apabila dia menyedari kereta Honda Accord anaknya tak sampai-sampai.

Menurut Anton dia dan adik disuruh baca sesuatu yang dia sendiri tak faham butirnya. Dia dah bertemu banyak suku-suku di Indonesia dan cam bahasa-bahasa ibunda suku yang terdapat di negara, tapi bahasa satu ini dia tak pernah dengar langsung, bunyi telor Jawa pun tak ada. Dia dan adik terpaksa mengulang kata-kata seolah mentera secara phonetik.

Bila dah selesai baca mentera, barulah mereka dilepaskan. Seharian dipasung membuatkan Anton dan adiknya terpaksa dipapah berdiri kerana kaki kebas dan lemah tubuh badan. Mereka dibawa ke sungai berhampiran dan dibantu penduduk kampung untuk berdiri dalam sungai separas pinggang. 

Anton mengaku yang dia bukanlah seorang yang alim. Solat pun setakat solat Jumaat je ataupun solat Aidilfitri/Adha tapi dia takdalah sampai tergamak nak murtad. Dari kata-kata pembantu serban putih itu, seolah-olah dia mahu dibaptiskan macam Kristen Katolik rendam orang dalam air itu. Siap ada dengar perkataan "Yesus Kristus" lagi. Dalam otak Anton dah terfikir, ajaran sesat apa benda ni? Siap ada Kristian bagai. Biasanya kumpulan kultus di Indonesia hanya 'sesat' dalam konteks agama tertentu macam contoh kalau ajaran sesat Islam cuma manipulasi hal-hal berkaitan agama Islam seperti mengaku Imam Mahdi, dan itulah yang dia suspek sebentar tadi, kampung ini ada orang mengaku Nabi dan lain-lain jadi 'sheep' sahaja. Tapi ini siap ada campur-campur agama lain pula.

Tapi Anton tak membantah. Dia dan adik hanya mampu berpandangan sesama sendiri apabila di rendam beberapa kali dalam sungai. Selesai upacara rendam-merendam, Anton dan adik naik ke tebing. Semasa di tebing, ada seorang lagi pembantu Nabi Bahar membaca sesuatu dan mencalit serbuk kunyit ke dahi dia dan adik, dah macam Hindu pula.

Selepas itu, mereka berjalan masuk ke dalam hutan tanpa henti selama berjam-jam sambil berselawat ramai-ramai. Dalam konvoi berjalan ramai-ramai masuk ke hutan itu, Anton dan adik dipaksa jenjeng kandang besi dan pasung tempat mereka dikurung sebelum itu. Tuhan sahajalah yang tahu macam mana nak patahnya bahu mereka berdua mengendong kedua benda alah itu naik turun bukit dan rentas sungai, dia sendiri pun tak tahu macam mana boleh tahan sampai ke perkampungan di tengah hutan tebal.

Sepanjang perjalanan, orang kampung juga menjenjeng sesuatu yang besar dalam guni tarpaulin. Kata Anton ada masa ahli kumpulan terutamanya kanak-kanak akan menyeluk tangan ke dalam guni dan mengeluarkan sesuatu seperti daging salai dan makan beramai-ramai. Anton dan adik adalah di tawarkan tapi dia tak nak kerana baunya yang sangat busuk.

Mereka tiba di perkampungan tengah hutan. Rumah-rumah kayu dibina ringkas menggunakan papan lapis bercampur pohon-pohon kayu yang ditebang dari hutan. Binatang seperti ayam dan lembu bebas berkeliaran, babi hutan juga banyak berkeliaran di perkampungan itu. Wanita-wanita berbaring dalam buaian hammock manakala budak-budak kecil bogel bermain-main sekeliling ibu-ibu mereka.

Kehadiran kumpulan tersebut seperti tidak diendahkan oleh wanita-wanita. Mereka cuma memandang dan kemudian meneruskan aktiviti bermalasan sambil makan buah betik ke apa entah kata Anton. Cuma kanak-kanak datang menyambut, itupun sambut rakan-rakan sebaya mereka sahaja.

Kata Anton, bila dia jatuhkan kandang besi dan pasung kayu ke tanah macam, dia punya rasa ringan itu macam nak terbang sahaja. Anton terhoyong-hayang sebaik beban dilepaskan dan terduduk di tanah. Ketika sedang terduduk, dia melihat kanak-kanak kampung menggerumuni guni tarpaulin yang diusung sebentar tadi. 

Nak termuntah Anton apabila mendapati rupanya dalam guni tarpaulin adalah tubuh manusia yang hitam dibakar. Kanak-kanak tadi menyiat-yiat kulit mayat apa yang kelihatan seperti mayat wanita. Kulit dan isi yang tersiat, dimakan oleh kanak-kanak itu. Kalau ada sesuatu yang dia bersyukur amat-amat sangat ialah nasib baik dia tak makan benda alah itu tadi walaupun perut merintih minta diisi.

Salah seorang dari penduduk kampung datang kepadanya membawa dua biji betik. Tanpa membuang masa, Anton dan adiknya membaham betik dengan lahapnya. Ketika tengah makan betik, dia sempat melihat keadaan sekeliling. Satu perkara yang dia pasti adalah mat-mat rempit yang mengekorinya tiada di kalangan penduduk kampung.

Anton dan adik di bawa ke sebuah pondok kayu besar. Di luar pondok ada lukisan bulan sabit dan bintang, palang Kristian dan lukisan orang sedang bertapa seperti Buddha dan orang berkepala gajah, dilukis menggunakan arang.

Di dalam pondok, warga kampung mula memenuhi lantai tanah tidak berlapik. Ruangan depan pondok dihias dengan kain rentang bersulam emas dan Nabi Bahar duduk bersila di depan atas bantal diperbuat dari suede warna emas.

"Assalamualaikum..." Kata Nabi Bahar. Diikuti jawab salam oleh penduduk kampung beramai-ramai. Nabi Bahar seterusnya berucap dalam bahasa yang tak difahami oleh Anton yang disuruh duduk di barisan hadapan.

Lebih kurang 30-40 minit, mereka beramai-ramai sebut "AMINNN". Kemudian, Anton dan adik disuruh duduk bersila sebelah Nabi Bahar. Tak tahulah apa yang dikata tapi Nabi Bahar siap tepuk-tepuk bahu dia dan adiknya yang duduk di kira dan kanan lelaki berserban itu.

Setiap kali Nabi Bahar pegang bahu dia atau adiknya, semua orang dalam pondok akan mengangguk sambil kata "Iyo" beramai-ramai. Tak lama kemudian, dua wanita berdiri dan menuju ke depan, seorang duduk sebelah Anton dan seorang lagi sebelah adiknya. Sesi dalam pondok selesai dengan satu tepukan berirama oleh semua orang. Anton dan adiknya cuba nak ikut tapi dikata tak perlu oleh Nabi Bahar.

Penduduk kampung beransur meninggalkan pondok kecuali Anton, adiknya, Nabi Bahar dan kedua wanita tadi. Nabi Bahar berkata sesuatu kepada wanita-wanita itu dan seperti biasa dalam bahasa tak difahami Anton. 

"Hunod, Magor, aku anugerahi istri-istri sebagai pelengkap kamu" Dah ternganga mulut Anton. Dari hampir dibunuh kini dah ada bini, siap ada nama baru lagi. Mereka dibawa oleh 'istri-istri' ke rumah. Kata Anton dia ikut sahaja kerana tak nak cari pasal. Katanya lagi, dalam hati dia terasa sebak mengenang isteri dan dua orang anak di kampung yang mesti tengah menunggu kepulangannya. Adiknya waktu itu tak nikah lagi.

Anton, atau dengan nama barunya, Magor, mengikut 'isteri' dari belakang. Sepanjang perjalanan ke rumah baru, dia perasan wanita-wanita dalam komuniti Nabi Bahar hanya terbaring dalam buaian, manakala kaum lelaki sibuk menyediakan makanan dan menguruskan anak-anak. 

Rumah baru Anton lebih layak dipanggil pondok kerana hanya ada bumbung dan tidak berdinding. Di dalamnya ada tempat memasak dan dua buaian. Okay bahagian ini agak ekstrem sikit, menurut Anton, sebaik tiba di pondok, 'isteri' terus berbaring, tarik kain dan mengangkang. Anton pula terpinga-pinga, dah tengok Anton terbagak-bagak kat situ, 'isteri' barunya mengeluh, pergi ke arahnya dan melondehkan seluar. The rest, agak sendiri 

Dia tertidur lama hampir seharian dan sedar-sedar dah malam. Selama ini dia ingatkan dalam hutan tengah malam sunyi sepi tapi rupanya lagi bising dari kawasan penempatan kerana bunyi cengkerik berdesing punyalah kuat sampai nak cakap pun kadang-kadang tenggelam suara. Di tengah kampung ada unggun api besar dan semua orang ada disitu.

Di sekeliling unggun api ada beberapa lelaki dan wanita tengah naik sheikh, termasuklah adiknya dan Nabi Bahar. Tak sempat dia nak tahu apa yang sedang berlaku, seorang lelaki menghulur sebatang kayu seperti pipe. Anton disuruh untuk sedut dan mengikut kata lelaki itu dalam bahasa Indo tak fasih, "Jumpa wakil Tuhan".

Mula-mula Anton tak nak tapi setelah dipaksa, lelaki itu menyuakan muncung kayu yang berkepul-kepul keluar asap ke lubang hidung. Anton disuruh sedut sedalam-dalamnya dan setelah mengikut apa yang disuruh, kepalanya rasa berputar-putar macam vertigo sampai jatuh terduduk. Kata Anton dia dengar bermacam-macam suara, ada suara ibubapanya, suara isteri, anak-anak, rakan-rakan, kenalan dan semua orang yang dia pernah berjumpa seperti bermain dalam telinga.

Penglihatan berganda tapi badannya rasa ringan, macam di ruang angkasa kata Anton. Bila dia melangkah itu macam terapung sahaja. Jadi dah tengah layan high itu, dia pun join sekali naik sheikh.

Suara Nabi Bahar mematikan keseronokan terapungnya.

"Tetamu-tetamu kita udah tiba. Persiap semua sambut kedatangan"

Tak tahulah samada efek dari benda yang disedut atau apa, penglihatannya tiba-tiba menjadi jelas dan di sebalik pokok-pokok di sempadan kampung, muncul lembaga-lembaga berjubah putih dengan rambut panjang mengerbang menutupi wajah. Hilaian bergema diseluruh hutan dan penduduk-penduduk kampung bersujud lalu menyembah-menyembah makhluk-makhluk yang semakin banyak keluar dari sebalik hutan.

Anton mengikut tingkah laku penduduk kampung dengan bersujud dan menyembah. Makin lama makin sebak hatinya dan tidak semena-mena Anton cakap dia meraung-raung macam orang mati bini. Apa yang pelik, dia tak rasa takut tapi rasa macam mengharap kedatangan hantu, jembalang hutan tersebut seperti mereka akan memberi kebahagian kepadanya. Kata Anton, perasaannya ketika itu seperti ketika dia menyambut kelahiran anak pertamanya, gembira bercampur terharu, macam itu lah.

Bunyi hilaian semakin nyaring.

Dari pandangan berbalam-balam, Anton mendapati makhluk-makhluk di sebalik pokok mula mendekatinya. Kata Anton, dari apa yang dia faham kalau dah pakai jubah putih, rambut panjang mengerbang dan mengilai tak lain tak bukan ialah pontianak. Anton berguling-guling atas tanah sambil meraung-raung. Apa yang pelik, dia dalam keadaan sedar ketika itu tapi tak boleh mengawal diri dan seolah-olah rohnya keluar dari badan dan lihat sendiri tubuh fizikal meracau-racau atas tanah.

Dua ekor pontianak berdiri depan Anton. Dia cuba lihat wajah makhluk itu tapi rambut hitam melindungi muka. Cuma dua pasang mata putih terbuntang kelihatan dari celahan jurai rambut. Beberapa ketika kemudian pandangannya kabur dan sedar-sedar dah siang.

Tubuh-tubuh bergelimpangan di sekeliling unggun api yang telah padam. Anton pantas bangkit dan mencari adiknya. Di kala semua orang masih lagi tak sedarkan diri, inilah waktu terbaik untuk dia melarikan diri. Tak kisahlah yang dia tak tahu ceruk hutan mana dia berada ketika itu, apa yang penting dia dan adik kena berambus secepat yang mungkin.

Satu persatu tubuh yang terbaring di periksa. Adik tak dijumpai, mana pula dia pergi?. Anton teringat ada anak sungai di belakang pondok, mungkin adik pergi kencing kat sana, biasalah pagi-pagi kan. Berlari anak Anton ke belakang pondok tapi tak sempat dia nak ke anak sungai, Nabi Bahar dah terpacul kat pintu pondok.

Kata Anton, selamba je mamat tu berdiri menggeliat tanpa seurat benang di badan. Dia perasan alat sulit Nabi Bahar yang tengah tegang mencanak tu ada tatoo dan tindik. Mengikut pemahaman Anton, zakar dicacah sebegitu rupa adalah ritual banduan. Mereka yang akan keluar dari penjara akan diberi 'hadiah' oleh rakan sepenjara supaya wanita-wanita yang ditiduri diluar nanti akan 'terseksa dalam keenakan'. Apa yang membuatkan Anton amat pasti akan perkara itu adalah kerana sepupunya sendiri antara salah seorang penerima 'hadiah' tersebut.

Tak sempat Anton nak bersembunyi, dia dah dipanggil Nabi Bahar.

"  Pergi ambil sarapan aku" Perintahnya pada Anton.

Sempat Anton melihat wanita-wanita telanjang terbongkang di belakang Nabi Bahar. Setelah memberi arahan, Nabi Bahar masuk semula ke pondok dan mengejutkan gundik-gundiknya. Anton berpatah semula ke arah unggun api, berpura-pura mendapatkan sarapan seperti di arah lalu menyelinap pergi ke sungai di belakang pondok. Erangan-erangan ghairah kedengaran di sebalik dinding kayu tidak diendahkan Anton. Sebaik tiba di anak sungai, Anton melihat adiknya tengah berendam dalam sungai.

Tujahan air sungai dari gunung menghentam belakang adik dan dari bibir biru terketar-ketar, jelas menunjukkan betapa dinginnya air sungai tersebut tapi adik tidak mengendahkannya. Dia hanya termenung dengan wajah tidak berekspresi.

"BUDI!" Jerit Anton sambil tergocoh-gocoh menyeberangi sungai deras cuba mendapatkan adiknya.

Bahu Budi digoncang keras kerana tiada respon. Tak tahu lah kenapa adiknya macam orang bodoh termenung sendirian seperti disihir. Anton mengangkat tubuh adiknya keluar dari sungai.

Bila dah didirikan, rupa-rupanya Budi bertelanjang dari pinggang ke bawah tapi Anton tak ada masa nak bertanya bagai kerana kesuntukan masa. Budi digendong di belakang dan sedaya-upaya Anton menyeberang sungai.

Dengan hanya berkaki ayam, Anton berlari di dalam hutan tebal tanpa arah tujuan. Tangan dan kaki yang memikul beban Budi semakin lemah. Bunyi desiran daun kering di lantai hutan mengejutkan Anton yang semakin terhoyong-hayang. Dia tahu pengikut-pengikut Nabi Bahar sedang melakukan operasi pencarian dia dan adiknya.

Berbekalkan kudrat yang ada, Anton mengemaskan pikulan Budi di belakang dan meneruskan larian. Semakin jauh didalam hutan, semakin besar dan aneh tumbuhan dan serangga yang dilihatnya. Bunyi kerupan daun-daun kering masih kedengaran malah makin dekat. 

Anton tahu dia tak boleh terus berlari, dengan perut kosong dan tubuh lemah, ditambah pula dengan Budi yang seperti orang lumpuh, lambat-laun akan tertangkap juga. Pengalaman membesar di kampung terletak di kaki bukit membuatkan Anton tidak kekok berada dalam hutan, apatah lagi antara permainan harian adalah main nyorok-nyorok dalam hutan tepi kampong.

Mungkin desakan untuk terus hidup membuatkan minda Anton ligat berfikir mencari cara untuk menyelamatkan diri. Dia teringat satu trick yang sering dilakukan semasa kecil ketika bermain nyorok-nyorok. Rimbunan pokok paku pakis yang renek bertebaran di lantai hutan adalah tempat kegemaran untuk menyorok. Budi diturunkan dan dengan berhati-hati Anton bergerak ke depan secara terbalik sambil menguis daun-daun kering untuk menyembunyikan kesan tapak kaki.

Dia dan Budi meniarap di bawah salah satu semak pakis, menunggu geng-geng Nabi Bahar melewati kedudukan mereka. Bunyi derapan tapak kaki semakin kuat. Serangga-serangga hutan semakin banyak berkeliaran di tubuh, apatah lagi dengan Budi yang hanya berbaju, tapi nasib baiklah keadaannya seperti orang mati.

Kaki manusia muncul betul-betul di depan Anton. Dia menutup mulut supaya cungapan tidak didengari. Beberapa pasang kaki memenuhi ruang hutan dimana dia bersembunyi. Mungkin bingung dengan kehilangan kesan Anton dan adiknya di lantai hutan. Mereka berlegar-legar di kawasan persekitaran. Anton semakin panik kerana jika mereka mula memeriksa semak-samun, pasti dia akan ditemui.

Sepasang kaki mendekati tempat persembunyian Anton dan Budi. Perlahan-lahan Anton mengensot ke belakang sambil menarik Budi. Nasib baik juga desingan cengkerik menenggelamkan bunyi ensotan. 

Sebatang kayu menerobos masuk dari rimbunan pakis dan terpacak betul-betul depan batang hidung Anton. Katanya, kalau dia lambat ensot 5-10 saat mungkin kena dah.

"GAA!" Laungan suara wanita bergema di tengah hutan. Sejurus selepas itu, kumpulan pencari mula meninggalkan kawasan persembunyian Anton.

Kata Anton dia melepak kat dalam semak tu agak lama juga lah sebab tak berani nak terus keluar takut geng-geng tu tengah menyorok kat mana-mana berhampiran. Cuma bila Budi dah 'tersedar' barulah Anton ambil keputusan untuk keluar dari persembunyian. Lagipun hari makin tinggi, benda terakhir yang Anton mahu berdepan ialah terperangkap dalam kegelapan malam di tengah hutan rimba.

Kata Anton, pengalaman membesar di kampung terletak di kaki hutan memberikan serba-sedikit pengetahuan tentang mengemudi di lautan pokok. Kata orang-orang tua, kalau tersesat dalam hutan pergilah ke arah kiblat kerana nescaya akan berjumpa dengan masjid. Masjid di Sumatera macam 7-11 kata Anton, mana-mana tempat mesti ada.

Ayahnya pernah mengajar bagaimana mencari arah di dalam hutan. Pokok-pokok besar di tengah hutan pasti berlumut di bahagian pemeluk. Pokok yang ada lumut tebal menandakan itu bahagian timur kerana terkena cahaya matahari. Oleh kerana arah kiblat terletak di antara utara dan barat (ikut geografi Sumatera), maka Anton perlu jalan arah berlawanan dan ambil angle sikit di tengah-tengah antara utara dan barat.

Berjalanlah Anton dan adiknya mengharungi hutan tebal. Dengan keadaan Budi, pastilah bermacam soalan ditanyanya sampai Anton rasa nak terajang je, dia tak ada mood nak melayan. Tidak makan seharian memberi kesan pada mereka berdua. Walaupun di tengah kehijauan alam, Anton kata macam berjalan di padang pasir dan ya, walaupun redup, bahang matahari masih terasa di dalam hutan.

Dari jauh dia dengar satu bunyi. Anton amat kenal bunyi tersebut, begitu juga dengan Budi. Mereka kembali bertenaga dan berlari ke arah bunyi tersebut. Sangkaannya benar, sebatang anak sungai dengan beberapa siri air terjun benar-benar melegakan hati. Seperti kanak-kanak Anton dan Budi terjun berendam. Sedang dia berendam, bunyi kenderaan kedengaran di atas. Anton dan Budi berpandangan dan segera mendaki bukit kecil di seberang sungai.

Mereka berdiri di tepi sebatang jalan dua hala. Keadaan sekeliling kelihatan biasa seperti pernah melalui jalan itu. Anton teringat semula kejadian kereta masuk dalam parit. Bergegas dia berlari menuju ke arah tempat kejadian.

Kereta klien dah tak ada dalam parit tapi ada serpihan kenderaan di tengah jalan raya. Anton dan Budi mengekori remah kaca dan plastik sehingga ke satu denai. Laluan selebar 1 meter membawa dua beradik ke sebuah rumah diperbuat dari papan plywood. Honda Accord yang kemek bahagian penumpang hadapan di parking depan laman. Motor-motor jipang  berselerakan. Dia tahu ini mesti geng mat rempit haritu.

Tiada bunyi kedengaran. Tak pasti samada mat-mat rempit tu tengah tidur atau tak berada disitu. Apa-apa pun Anton terpaksa ambil risiko memeriksa Honda tersebut kerana itulah satu-satunya escape plan yang ada.

Terbongkok-bongkok Anton merapati Honda. Dia perasan kunci tersemat di ignition. Pintu dibuka perlahan dan Anton masuk ke ruang pemandu dan tidak membuang masa menghidupkan enjin.

Mat-mat rempit muncul di pintu dan tingkap rumah sebaik enjin berderum. Gear dimasukkan ke reverse dan pantas berundur. Seperti filem aksi, Budi melompat masuk seat belakang tanpa Anton memberhentikan kereta. 

Honda Accord klien menuju secara reverse ke jalan besar. Dari jauh Anton nampak geng-geng mat rempit kelam-kabut menghidupkan motorsikal masing-masing. 

Kata Anton semasa memasuki jalan besar, sikit lagi nak dilanggar lori dari belakang. Bunyi hon bertalu-talu tidak diendahkan Anton. Beberapa kali juga dia cuba masuk 1st gear tapi tak betul main clutch. Dah beberapa kali bergesek gigi gear sebab tak betul masuk gear, baru bergerak. 

Honda Accord meluncur laju di jalan kampung bengkang-bengkok. Dari rearview mirror, sekumpulan mat rempit gigih mengejarnya, seperti beberapa hari lalu.

Kelok (selekoh dalam bahasa Indo) semakin tajam dan merbahaya, Budi pula macam orang hilang akal meraung tak tentu pasal di seat belakang.

Lebih kurang satu jam main kejar-kejar dengan mat rempit, Anton tiba di sebuah pekan kecil bernama Arga Makmur yang terletak di utara daerah Bengkulu. Kata Anton pekan itu boleh dikatakan moden dan ada kemudahan macam balai polis, klinik dan sebagainya. Ingatkan bila dah masuk pekan besar, mat-mat rempit berhenti kejar tapi makin menjadi pula.

Ada yang berjaya mendekati ketika Anton memperlahankan kelajuan untuk memasuki simpang dan menendang-nendang bahagian belakang kereta. Selamba mereka melakukan onar depan orang ramai tanpa perlu berselindung. Oleh kerana makin agresif serangan ke atas kereta dipandunya, Anton terdesak mencari balai polis.

Nasibnya baik, 100 meter di depan ada signboard "POLISI". Dia membelok laju memasuki perkarangan balai polis dan bergegas keluar sambil mengheret Budi ke dalam ruangan lobi. Tapi geng mat rempit punya lah berani, sampai masuk ke depan pintu masuk dengan lagak samseng.

Anton dan Budi bersembunyi di belakang kaunter di kala anggota-anggota polis cuba menenangkan keadaan. Geng mat rempit menuduh Anton langgar lari penduduk kampung mereka sampai mati dan mereka menuntut hutang darah. Seperti biasa di daerah terpencil di selatan Sumatera, hutang darah dibayar darah dan undang-undang rimba memang sedia maklum dipratikkan walaupun ada badan-badan berkuasa seperti polis dan mahkamah.

Jadi bukan sesuatu yang mengejutkan bagi anggota polis di balai polis tersebut dengan kekacauan sebegini dan mungkin sudah biasa. Tanpa ditanya, Anton dan Budi disuruh ke belakang dan dimasukkan dalam lokap. Sebelum anggota polis itu meninggalkan mereka, dia bertanya samada ada sesiapa yang mahu ditelefon. Anton tak boleh teringat nombor telefon ke apa dalam suasana kacau-bilau, apatah lagi zaman tersebut bukannya ada handphone. Melihatkan Anton macam orang bodoh, anggota polis berlalu pergi tanpa sepatah kata.

Gema jeritan kedengaran hingga ke dalam lokap. Anton menanggalkan baju dan mencampakkannya ke Budi untuk menutup zakar yang terjulur sejak dari tadi sebelum tersandar dan jatuh terduduk di lantai. Budi pula masih teresak-esak menangis macam anak kecil kena rotan. Ada masa Anton menjeling ke arah cahaya neon di pintu masuk ruangan lokap, mana tahu kalau polis akur dan kembali ke lokap untuk melepaskan mereka kepada geng rempit. Hidup di daerah pedalaman Sumatera, Anton sedia maklum dengan kekuasaan 'hukum rakyat'. Ada masa polis pun tidak mampu menghalang kemahuan penduduk setempat. Kini nyawa dia dan adiknya betul-betul di bawah belas kasihan balai polis itu.

Kepenatan akhirnya membuatkan Anton terlelap. Dia bermimpi berada dalam 'gedung' besar bersiling tinggi. Duduk di depan seperti singgahsana raja adalah Nabi Bahar. Apa yang anehnya, Nabi Bahar kelihatan seperti sangat 'ganteng' bak kata Anton. Tubuhnya kekar dan besar tak berbaju macam Arnold Schwarzenegger dalam filem Conan The Barbarian. Di samping itu ada dua wanita mat salleh mata biru yang amat cantik lagi seksi mengelus-ngelus manja tubuh Nabi Bahar.

Sekeliling adalah pengikut Nabi Bahar, ada yang Anton cam muka dan ada yang tak, duduk di bangku panjang disusun seperti dalam gereja. Anton antara salah seorang dari yang duduk di salah satu bangku. Tiba-tiba semua bangun sambil melihat ke lorong tengah. Bak music video November Rain, seorang wanita berpakaian gown nikah putih ala Amerika berjalan catwalk dengan tirai melindungi wajah.

Wanita itu berjalan di sepanjang lorong menuju ke Nabi Bahar yang mana berdiri sambil mendepa tangan, menyambut kehadiran wanita misteri tersebut. Anton terkejut apabila mendapati di belakang wanita terdapat sekumpulan kanak-kanak kecil bogel jalan terbongkok-bongkok berbaris sambil berpegangan bahu. Tambah mengerikan balutan kain putih di mata setiap kanak-kanak bertompok darah pekat, seperti mata-mata mereka dirodok keluar dan mulut mereka dijahit tutup dengan benang hitam.

Anton terbangun lalu menjerit sekuat hati. Bukan kerana mimpi pelik tadi tapi kerana dua pontianak yang ditemui sewaktu dalam hutan, berdiri di depannya. Ketika sedang tersandar di dinding ketakutan, kedua pontianak itu mendekati muka Anton sambil membuka tiraian rambut yang menutupi wajah. 

Kata Anton, dia dah tak boleh tahan sebaik sahaja dua pontianak itu menayangkan wajah mereka yang hanya beberapa inci dari batang hidung Anton. Dia menerpa ke pintu besi sambil meraung-raung minta dilepaskan. Dua anggota polis datang dan memarahinya supaya duduk dalam lokap diam-diam.

Aku tanya, apa yang kau nampak Anton? Dia kata wajah pontianak-pontianak itu pucat lesi seperti tiada darah dengan mulut berjahit benang hitam dan sepasang soket mata berdarah, kerana bola mata telah dikeluarkan.

Setiap kali Anton buka mata dia nampak pontianak-pontianak tersebut. Terpaksalah dia mengerengkot atas lantai sejuk sambil menangis teresak-esak minta jangan diganggu. 

"Kau pun nampak eh pontianak tu?" Suara Budi lemah bertanya. Rupa-rupanya, Budi jadi macam orang sewel disebabkan dia pun diganggu pontianak-pontianak itu. Setiap kali dia buka mata nampak je benda alah makhluk dua ekor depannya. Mana tak gila jadinya tapi lama-kelamaan dia dah terpaksa menerima kehadiran dua makhluk halus itu setiap kali buka mata. 

Deskripsi Budi sama seperti apa yang sedang dilihatnya ketika itu. Rambut panjang mengerbang, jubah putih lusuh dengan wajah pucat. Mulut berjahit benang hitam dan soket mata berdarah. Anton tarik nafas panjang dan buka mata. Ditenungnya wajah dua ekor pontianak itu tanpa berkelip. Dia mahu latih mindanya untuk tidak berasa seram dengan kewujudan makhluk dua ekor itu yang mungkin hanya wujud di pandangannya.

Lebih kurang 30 minit, Anton sudah dapat menenangkan diri. Tanpa mempedulikan dua pontianak yang mengekori di sebelah, Anton bersidai di gerigi besi sambil memanggil anggota polis. Seorang lelaki berpakaian t-shirt kolar lusuh menghampiri Anton dan tiada reaksi dari lelaki itu akan pontianak-pontianak yang sedang mengendeng disebelahnya ketika itu. Yakinlah Anton bahawa makhluk-makhluk tersebut hanya bermain di mindanya dan ini sudah pasti kerja Nabi Bahar.

Anton minta kebenaran untuk menghubungi keluarga di Padang kerana hanya nombor telefon rumah sahaja yang boleh diingatnya. Dia dikeluarkan dari lokap sementara Budi tersandar di dinding melihat lemah abangnya keluar. Anton tidak perlu memberitahu Budi kerana adiknya itu terlalu lemah untuk memberi sebarang respon.

Geng mat rempit mungkin telah meninggalkan perkarangan balai kerana keadaan tenang semasa Anton berada di ruangan lobi. Dia tidak buang masa memikirkan dimana pemburu-pemburunya berada kerana harus segera menghubungi rumah. Masa yang diberi tidak disia-siakan. Perbualan dengan isteri yang mengangkat telefon diringkaskan dan dia meminta isteri menghubungi klien dan memohon telefon balai polis dimana dia berada. Dia terpaksa menengking isteri beberapa kali yang sibuk bertanya itu ini. Setelah meminta isteri mengulangi apa yang disuruhnya, Anton meletakkan telefon dan minta dipulangkan ke lokap.

Dipendekkan cerita, kliennya menghubungi balai polis Arga Makmur hari itu juga. Kata Anton, kliennya itu seorang berpangkat sehingga dia boleh mengarahkan supaya Anton dipindahkan ke Padang. Berkenaan dengan kereta Honda Accord tersebut, kliennya punyalah marah sampai boleh terdengar satu lobi jeritan di corong telefon.

Apa-apa pun Anton redha. Nak kena pelangkung oleh kliennya bila sampai Padang nanti pun gasaklah. Dalam otaknya, dia cuma mahu pulang ke rumah. Anton dan Budi dihantar pulang ke Padang menaiki van polis seminggu selepas kereta Honda Accord kliennya di tarik pulang ke Padang. Hampir sebulan jugalah dia merengkok dalam lokap bersama adiknya. Dalam perjalanan pulang, mereka sempat melintasi kawasan dimana kereta Honda Accord masuk dalam parit tepi jalan. 

Dia melihat penduduk-penduduk kampong sialan itu mundar-mandir di halaman rumah masing-masing. Anton membungkuk badan untuk menyembunyikan diri dari dilihat dari luar. Sayup-sayup kedengaran bunyi enjin 2 lejang di luar. Anton putar ke belakang melihat dari cermin belakang. Sekumpulan geng mat rempit berkumpul di bawah pohon rendang tepi jalan sambil memulas-mulas pendikit.

Kata Anton, tak payahlah dia nak terangkan apa terjadi sebaik dia sampai di Padang kerana ia bukanlah pengalaman yang mahu diingatnya. Cukuplah dia cakap yang pasca-kejadian, dia dibelasah sampai masuk hospital, tanah pusaka terpaksa digadaikan untuk bayar gantirugi dan hampir bercerai dengan isteri gara-gara kehilangan rumah. Anton berhijrah ke Jakarta untuk mencari peluang rezeki baru dan sebaik dia sudah stabil, dia membawa anak bini, adik (Budi) dan kedua ibubapa ke Jakarta dan nekad tidak akan menjejakkan kaki di Sumatra Barat selagi dia bernyawa. Cuma isteri dan anak-anak sahaja pulang ketika lebaran.
Sedar tak sedar kami sudah sampai di punca macet iaitu gerbang tol untuk masuk ke Bandung. Anton menamatkan cerita tanpa kata-kata pengulung kerana sibuk putar mobil sana-sini untuk mendapatkan jalur tol paling singkat. Aku pula melilau lihat kiri kanan cari toilet sebab dah nak terburai air kencing aku dalam seluar.

Hari berlalu dan aku terlupa akan kisah Anton kerana program di Bandung membuatkan aku sibuk. Selepas beberapa hari, aku siap untuk pulang semula ke Jakarta. Seperti biasa, lebuhraya Cipularang menuju ke Jakarta sesak dengan wargakota pulang ke rumah masing-masing di kawasan Jabodetabek. Di tengah kesibukan, aku teringat cerita Anton dan bertanya tentang epilog kepada pengalamannya, terutama sekali tentang Nabi Bahar lah.

Menurut Anton, kliennya punyalah bengang dengan Nabi Bahar, disuruh kepala polisi bahagian Sumatera Selatan untuk buru mamat bos ajaran sesat itu. Rupa-rupanya pergerakan kumpulan Nabi Bahar memang dalam pemerhatian pihak berkuasa tapi kekangan belanjawan membuatkan mereka tidak pursue kes tersebut. Kumpulan khas (task force) ditubuhkan ekslusif untuk menangkap Nabi Bahar dan Anton serta Budi turut dipanggil untuk memberi keterangan tentang aktiviti dan lokasi pengikut ajaran sesat Bahar.

Aktiviti memburu Nabi Bahar sampai kemuncak apabila militer (askar) terlibat sama untuk cari Nabi Bahar dalam hutan dan Anton cuma tahu kes rasmi sampai disitu sahaja kerana selepas itu tiada lagi aktiviti diteruskan. Dari khabar angin diterima, mereka jumpa kampong Nabi Bahar dalam hutan tapi tidak berpenghuni. Mungkin dah ditinggalkan selepas mengetahui pihak berkuasa semakin agresif memburu mereka.

Geng mat rempit itu juga hilang dengan misterinya. Pemandu-pemandu lori yang biasa lalu jalan itu pun pelik tapi bersyukur lah sebab tak perlu nak psikokan diri setiap kali melewati jalan kampung disitu. 

Budi pula perlahan-lahan recover dan sekarang turut mengikuti Anton hijrah ke Jakarta dan mencari rezeki menjadi supir teksi Bluebird.

Cuma satu perkara Anton tak highlight. Apa jadi dengan dua ekor pontianak itu.

Anton tak jawab, cuma gelak sahaja. Aku gasak lagi sampai Anton mengalah. 

"Sampe sekarang masih keliatan kuntilanaknya" Kata Anton tenang.

"Ko biar betul Nton" Seloroh aku pula.

Kata Anton, makhluk dua ekor itu sentiasa ikut dimana dia pergi dan mungkin dah lama sangat, dia dah tak kisah dengan kehadiran pendamping-pendamping tak diundang itu. 

Aku sajalah gurau-gurau tanya "Abis tu mana cewe-cewe kamu itu sekarang".

Anton toleh ke aku kemudian anak matanya bergerak ke seat belakang aku. 

"Ga perlu tau lah boss" Kata Anton dengan senyuman sinis sambil menghembus asap kretek keluar tingkap dibuka separuh.

Aku lihat keluar tingkap, ke arah berpuluh mobil yang mengalami nasib sama seperti kami.

Kemudian aku terarah ke kereta sebelah, aku masih ingat kereta Datsun wagon. Apa yang membuatkan aku rasa pelik bukan isi kereta tersebut tetapi refleksi di cermin sisi belakang...

Ada imej orang dilitupi rambut panjang mengerbang tengah duduk di seat belakang aku.

Tamat.

================================


from author dammerung dari cari forum

No comments:

Post a Comment